Wednesday, June 20, 2012

Memahami Rukun Islam



1. Mengucap dua kalimah syahadah : dua kalimah syahadah adalah dua ungkapan yang mesti di ucapkan dengan lidah dan diakui dengan hati yang ikhlas oleh setiap orang yang ingin memeluk islam. Maksudnya, saya bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah, yang ditaati, yang benar, yang mentadbir dan segala-galanya melainkan Allah yang tidak akan menyampaikan sesuatu melainkan apa-apa yang di suruh oleh Allah

2. Mndirikan solat : solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi istilah syarak iaitu beberapa perkataan dan perbuatan yang didahulukan dengan takbir disertakan dengan niat dan diakhiri dengan salam

3. Menunaikan zakat : zakat dari segi bahasa ertinya bersih, subur, berkat dabn berkembang. Dari segi syarak pula bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu untuk diberikan kepada golongan (asnaf) tertentu yang yang berhak menerima setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak

4. Puasa di bulan Ramadhan : puasa dari segi bahasa iaitu menahan diri dari sesuatu. Sesuatu dari segi syarak bermaksud menahan dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertakan dengan niat

5. Menunaikan haji bagi yang berkemampuan : haji dari segi bahasa bererti tujuan dam maksud. Dari segi syarak iaitu mengunjungi kaabah dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sa’I, dan wukuf di padang Arafah dengan mengikut syarat dan menunaikan segala rukun dan wajibnya.

Thursday, June 14, 2012

Awas Jerat Cinta Maya si 'Awang Hitam'






MENDENGARKAN nama 'Awang Hitam' sahaja sudah cukup membuatkan kita berasa gerun apatah lagi terjebak ke dalam permainan 'cinta alam maya' mereka. Inilah perkara yang paling ditakuti oleh wanita di negara ini. Sememangnya perkara begini seringkali dikhabarkan di media-media massa namun masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripadanya.

Sikap terlalu mudah percaya menjerumuskan mangsa-mangsa ke dalam kancah penipuan Awang Hitam. Malah, percaya atau tidak, warga-warga Afrika ini sebenarnya dilatih di 'sekolah khas' untuk mendalami ilmu memperdaya mangsa-mangsa mereka sebelum mereka dihantar ke negara-negara tertentu untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kes seorang ibu tunggal berusia 63 tahun yang kehilangan RM5 juta setelah ditipu sindiket warga Afrika. Akibat angau bercinta kononnya dengan seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenalinya menerusi sebuah laman sosial, wanita itu sanggup menjual harta bendanya dan menyerahkan wang kepada kekasihnya yang sebenarnya menjadi dalang dalam sindiket cinta alam maya tersebut.

Walaupun tidak pernah bertemu sejak berkenalan, mangsa mudah diperdaya dengan hanya melihat foto-foto lelaki kulit putih yang kacak oleh sindiket penipuan terbabit.

Kes sebegini selalunya berlaku kepada wanita tempatan kerana begitu mudah mempercayai orang yang baru dikenali dan ini sekali gus memungkinkan mereka menjadi mangsa. Sasaran mereka adalah ibu-ibu tunggal dan golongan andartu yang kesunyian. Berbekalkan ayat-ayat manis dan romantis, lama- kelamaan hati mangsa mula terpaut. Sikap mesra yang penuh kasih-sayang yang ditunjukkan walaupun hanya dalam dunia maya, namun, bagi mangsa mereka tidak kisah asalkan tahu ada seseorang menyintai diri mereka.

Perkenalan dari alam maya ini membibitkan rasa sayang lantas nombor telefon diminta dengan alasan untuk menguatkan perhubungan tersebut. Mangsa yang mabuk cinta si Awang Hitam ini akan tunduk kepada kata-kata manis warga Afrika tersebut dan memberikan nombor mereka tanpa berfikir panjang.

Malahan, dek terlalu percayakan sang kekasih, ada sesetengah mangsa memberikan nombor akaun bank mereka tanpa perasaan ragu. Setelah itu, sindiket ini akan memulakan taktik mereka dengan memberi pelbagai alasan supaya mangsa percaya dan selanjutnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu.

Thursday, June 7, 2012

Dia golongan syurga ?

Punyai teman yang datang daripada pelbagai golongan membuat saya mengerti sesuatu, hidup ini bukan hanya sekadar hitam dan putih. Lalu hari ini saya mahu bercerita berkenaan seorang teman saya. Seorang teman yang punyai warna yang cemerlang, umpama cemerlangnya bintang kejora di langit hitam.

Dia pemuda yang hanya memahami satu perkara berkenaan hidup, apa yang perlu dibuat untuk esok, fikirkan pada esoknya. Lalu hari ini, khusus untuk hari ini. Hidupnya semudah itu. Tidak ada perkara yang membuatnya rusuh. Semuanya masalah ditangani dengan senyuman. Malah ketika matahari membara di kepalanya pun dia masih mampu tersenyum. Walaupun dia hanya berpakaian yang seadanya. Seluar pendek dan berbaju tidak berlengan.

Katanya, “Matahari memang dicipta untuk memberi cahaya, untuk memberi kepanasan dan bukan untuk meneduhkan. Lalu untuk apa mengeluh dan memberitahu dunia betapa panasnya matahari? Tugas kita manusia ini adalah bersyukur sekiranya sesuatu diletakkan pada tempatnya dan Allah tidak pernah silap meletakkan sesuatu pada tempatnya. Baik panasnya matahari, redupnya awan dan malah rawannya hati, semua itu Allah sudah tetapkan tempatnya. Jika kita mengeluh, umpama kita ini cuba memberitahu Tuhan yang Dia salah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Lalu kamu mahu menyalahkan Tuhan?”

Pelupuk jiwa saya terbuntang mendengar kata-katanya. Sungguh, dia pemuda yang istimewa, dan sungguh, kata-katanya tidak pernah gagal membuat hati saya bergetar.

Namun pada suatu hari saya mengerti sesuatu mengapa dia menjadi pemuda yang sering tersenyum. Mengapa dia menjadi pemuda yang hidupnya hari ini untuk hari ini dan esok untuk esok dan mengapa dia adalah teman yang cemerlang warnanya.

“Mengapa kamu begini?” tanya saya sambil mengaru dahi.

“Mengapa kamu bertanya begitu?” tanyanya pula dan ia sesuatu yang cukup saya tidak gemar. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Jelas dia penggemar falsafah Yunani.

“Kerana saya melihat ia berbeza,” jawab saya.

Friday, June 1, 2012

Cabaran pemakanan halal, mendidik pengguna bermaklumat

Dalam soal halal dan haram seperti mana yang disyariatkan oleh Allah SWT, manusia dapat meneroka sempadan kebaikan dan keburukan sebagai panduan asas untuk kepentingan kehidupan. Pembuktian saintifik melalui kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa setiap perkara halal mendatangkan manfaat manakala yang haram pasti akan wujud mudarat bersamanya.

Namun, bagaimana untuk memastikan sesuatu produk makanan atau barangan kegunaan itu mematuhi apa yang dikehendaki Islam? Sejauhmana keyakinan kita terhadap status halal makanan dan minuman serta barangan harian di negara ini? Sedarkah kita bahawa produk halal belum tentu berkualiti (toyyib)?

Halal bukan hanya terhad kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu siap. Lantaran pelbagai cabaran pemakanan halal yang mendepani masyarakat pada hari ini, memperlihatkan masyarakat semakin prihatin terhadap apa yang dimakan dan digunakan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud, “barang siapa yang berusaha mencari untuk keluarganya perkara yang halal, dia seperti seorang yang berjuang pada jalan Allah.

Dan barang siapa yang mencarinya dengan menjaga maruah dirinya, dia berada pada darjat para syuhada."- Riwayat at-Tabrani.

Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran. Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks penghasilannya.

Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat, halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat.

Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih melihat produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal termasuk proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran.

Pengguna bukan Islam di Rusia membeli produk daripada peruncit Islam kerana percaya produknya adalah selamat, segar, bebas jangkitan penyakit dan percaya bahawa setiap Muslim terikat dengan kepercayaan mereka yang tidak menipu. Di Filipina, masyarakat bukan Islam juga cenderung membeli makanan yang mempunyai logo halal atas alasan kesihatan. Mereka mula beralih mencari produk halal kerana percaya ia adalah selamat, sihat dan baik untuk digunakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...