MENDENGARKAN nama 'Awang Hitam' sahaja sudah cukup membuatkan kita berasa gerun apatah lagi terjebak ke dalam permainan 'cinta alam maya' mereka. Inilah perkara yang paling ditakuti oleh wanita di negara ini. Sememangnya perkara begini seringkali dikhabarkan di media-media massa namun masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripadanya.
Sikap terlalu mudah percaya menjerumuskan mangsa-mangsa ke dalam kancah penipuan Awang Hitam. Malah, percaya atau tidak, warga-warga Afrika ini sebenarnya dilatih di 'sekolah khas' untuk mendalami ilmu memperdaya mangsa-mangsa mereka sebelum mereka dihantar ke negara-negara tertentu untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kes seorang ibu tunggal berusia 63 tahun yang kehilangan RM5 juta setelah ditipu sindiket warga Afrika. Akibat angau bercinta kononnya dengan seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenalinya menerusi sebuah laman sosial, wanita itu sanggup menjual harta bendanya dan menyerahkan wang kepada kekasihnya yang sebenarnya menjadi dalang dalam sindiket cinta alam maya tersebut.
Walaupun tidak pernah bertemu sejak berkenalan, mangsa mudah diperdaya dengan hanya melihat foto-foto lelaki kulit putih yang kacak oleh sindiket penipuan terbabit.
Kes sebegini selalunya berlaku kepada wanita tempatan kerana begitu mudah mempercayai orang yang baru dikenali dan ini sekali gus memungkinkan mereka menjadi mangsa. Sasaran mereka adalah ibu-ibu tunggal dan golongan andartu yang kesunyian. Berbekalkan ayat-ayat manis dan romantis, lama- kelamaan hati mangsa mula terpaut. Sikap mesra yang penuh kasih-sayang yang ditunjukkan walaupun hanya dalam dunia maya, namun, bagi mangsa mereka tidak kisah asalkan tahu ada seseorang menyintai diri mereka.
Perkenalan dari alam maya ini membibitkan rasa sayang lantas nombor telefon diminta dengan alasan untuk menguatkan perhubungan tersebut. Mangsa yang mabuk cinta si Awang Hitam ini akan tunduk kepada kata-kata manis warga Afrika tersebut dan memberikan nombor mereka tanpa berfikir panjang.
Malahan, dek terlalu percayakan sang kekasih, ada sesetengah mangsa memberikan nombor akaun bank mereka tanpa perasaan ragu. Setelah itu, sindiket ini akan memulakan taktik mereka dengan memberi pelbagai alasan supaya mangsa percaya dan selanjutnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu.