
SETIAP pasangan suami isteri secara fitrahnya menginginkan zuriat mereka bagi menyambung salasilah keluarga. Malah saat diijabkabulkan, masing-masing menyimpan hasrat untuk dianugerahkan anak soleh dan solehah.
Ada yang sibuk mencari nama untuk anak yang bakal dilahirkan si isteri tercinta. Aktiviti membeli-belah barangan bayi seperti botol susu, lampin pakai buang, pakaian, katil dan permainan menjadi keutamaan pasangan. Semua yang dilakukan untuk menyediakan segala kelengkapan si manja agar membesar sebagai insan yang bahagia dan berjaya.
Sehubungan itu, agama Islam sebenarnya telah mengemukakan satu panduan lengkap bermula daripada seseorang yang bakal menjadi bapa atau ibu sehinggalah anak dilahirkan, kemudian menjadi remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya meninggal dunia.
Malah, saranan Rasulullah SAW menjelaskan betapa seseorang yang ingin membina bahtera rumah tangga seharusnya terlebih dahulu memilih bakal pasangan mereka yang biasanya tergolong dalam empat kategori utama iaitu pemilihan disebabkan harta, kecantikan, keturunan dan pilihan terakhir adalah agama atau akhlak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dikahwini seseorang wanita itu disebabkan kerana harta, cantik, keturunan. Maka pilihlah mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis lain yang berkaitan dengan pemilihan bakal pasangan antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat lain.” (Riwayat Ahmad)
Namun yang menjadi persoalan dewasa kini, adakah kita mampu mendidik anak dengan ajaran yang sebenar? Adakah kita sekarang menternak anak kita dengan sekadar memberi makan dan minum? Apakah yang kita berikan kepada anak dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan seumpamanya bertepatan dengan ajaran Islam?