Dalam karya agung Hujatul Islam al-Imam Ghazali ada menyebut dalam bab pertama kitab Ihya Ulumuddin mengenai perilaku dan kenyataan ulama.
Menurut beliau ulama terbahagi kepada dua golongan yakni ulama dunya atau ulama suuk dan ulama akhirah. Ulama dunya adalah ulama yang menggunakan agama demi sedikit kepentingan keduniaan seperti habuan wang ringgit, anugerah dan pangkat.
Kebiasaan ulama jenis ini akan mendampingi para penguasa bagi memastikan matlamat mereka tercapai, malah kadang-kala mereka sanggup mengeluarkan fatwa demi membenarkan tindakan penguasa meskipun ianya adalah jelas salah di sisi syarak.
Manakala antara ciri utama para ulama akhirat adalah tidak tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa. Mereka akan sentiasa berdiri teguh dan sentiasa mencari jalan melepaskan diri daripada memberikan fatwa.
Kata Imam Ghazali, "Jikalau mereka ditanya mengenai hukum yang benar-benar jelas ada dalam al-Quran dan Sunah, ijmak dan qias maka berfatwalah mereka.
Dan apabila ditanya kepada mereka sesuatu yang diragukan, maka mereka akan menjawab, 'La adri (aku tidak tahu)', jika mereka ditanya mengenai sesuatu yang hampir diyakininya, berdasarkan ijtihad dan tekaan mereka, maka mereka akan berhati-hati, mempertahankan diri dan menyerahkan penjawapan kepada orang lain, jika ada kemampuan tersebut pada orang lain." (Ihya Ulumuddin, jidil 1) Kerana ulama akhirat adalah berhati-hati sifatnya, dalam perbuatan mahupun kelakuan.
Pada mereka al-hazmu yakni berhati-hati besar manfaatnya, kerana mereka tahu andai ijtihad itu dilakukan tanpa suatu kajian dan ilmu khusus ia menjadi fatwa ikut-ikutan dan pastinya besar implikasinya kepada diri mereka khususnya masyarakat yang mengambil fatwa mereka sebagai pegangan.
Rasulullah SAW pernah berpesan: "Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)". (Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, hadis marfu').
Jelas di sini bahawa kemuliaan seorang ulama itu bukan sahaja kepada ketinggian ilmu mereka namun sikap berhati-hati dan tawaduk mereka. Akhlak sebegini mungkin akan mendatangkan telahan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat namun mereka sedar bahawa walaupun mereka berilmu pastinya diri mereka juga punya kelemahan.
Para ulama salafus soleh antara ulama yang mempunyai kualiti ilmu, iman dan takwa yang tinggi di sisi Allah taala. Namun mereka jua dalam keadaan tertentu lebih selesa berkata la adri bagi sesuatu hukum dan perkara yang mereka tidak tekuni.
Manifestasi agung kesatuan umat Islam seluruh dunia
2 months ago