Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi petunjuk ke jalan ALLAH SWT, membawa khabar gembira bagi umat Islam dan khabar ancaman bagi orang kafir. Dengan diri Baginda, ALLAH bukakan pendengaran dan mata hati ramai manusia yang berada dalam kegelapan; ALLAH selamatkan manusia daripada kebodohan; dan ALLAH terangi jalan-Nya yang lurus sehingga nampak jelas semua orang.
Manusia dimuliakan ALLAH SWT dengan Islam, iaitu diberi hidayah untuk beriman kepada-Nya, keselamatan serta jalan lurus menuju syurga yang penuh kenikmatan. Mereka yang beriman dan bertakwa sentiasa memiliki keistimewaan. Ketakwaan mereka adalah dala mengerjakan suruhan-Nya serta meninggalkan yang dilarang-Nya.
Manfaat takwa lebih daripada itu. Kualiti iman yang sempurna membantu mereka menangkis segala bentuk godaan syaitan termasuk hal kehidupan dunia dan berkaitan keagamaan.
Antara fitnah atau ujian yang ditakuti Nabi Muhammad SAW menimpa umat bukanlah kemiskinan tetapi kemewahan. Kemewahan mudah menjadikan seseorang lupa diri dan mengabaikan agama.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Bukan kemiskinan yang aku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemikian.” (Riwayat Al Bukhari)
Takwa amat penting
Mengabaikan agama berpunca daripada kemewahan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun mereka yang bertakwa tidak mudah ternoda dengan pujukan syaitan ini.
Pengabaian agama berlaku dalam bentuk urusan ibadat, kehidupan harian dan urusan dengan manusia lain. Selain kemewahan, populariti dan pangkat juga sering menjadikan seseorang yang tidak bertakwa mudah terjerumus kepada perbuatan yang sama dilakukan orang kafir seperti minum arak, berzina, mencaci maki.
Ada juga orang Islam bersekongkol dengan orang kafir yang mencari jalan untuk membantutkan perlaksanaan undang-undang tertentu (berkaitan syariah) kerana dianggap tidak menyebelahi mereka.
Itulah peri pentingnya menjalani kehidupan Islamik secara keseluruhan. Bukan separuh-separuh, bukan di luar sahaja atau bukan di dalam sahaja. Menjalani kehidupan sebagai Muslim yang tidak sepenuhnya amat membahayakan diri sendiri dan orang lain yang mempunyai kaitan dengannya. Jika mereka ketua keluarga, ini akan merosakkan nilai keislaman dan keimanan keluarganya.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ““Pada suatu hari nanti manusia akan mengalami suatu masa. Hati golongan Muslimin pada ketika itu sama seperti hati orang yang ajam”. (Hadis Thabrani dalam Mu’jam dengan sanad sahih). Maksud ajam dalam hadis ini adalah musuh Islam baik Yahudi, Nasrani ataupun yang lainnya.
Manifestasi agung kesatuan umat Islam seluruh dunia
2 months ago