Monday, April 4, 2011

Jalan Ilmu Jalan Ke Syurga

Ilmu ialah pengetahuan (maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidaktahuan atau kejahilan. Ilmu secara syarie adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Quran, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.


Ilmu Yang Bermanfaat

Ilmu bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Taala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Husna) dan sifat-sifat-Nya mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengagungan, rasa takut, cinta, harapan, sabar, reda dan tawakal hanya kepada Allah.
Keduanya, ilmu yang bermanfaat membawa kepada segala apa yang diredai dan dicintai Allah. Melalui ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu 'Imli as-Salaf 'ala al-Kholaf.
Dari sini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang, iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertakwa, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Ini juga berdasarkan kefahaman terhadap firman-Nya (yang bermaksud):

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku."
(Surah adz-Dzariyat, 51: 56).

 Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah, kepada Allah SWT.

Apabila memahami hakikat ini, sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuni ilmu-ilmu tersebut. Itulah yang merupakan tradisi ulama dan ilmuwan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat Imam asy-Syafie rahimahullah – imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Quran seawal usianya sembilan tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan tujuh tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul pada zamannya, iaitu al-Muwaththa' karya Imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Quran dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, ketika ilmuwan-ilmuwan itu menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan permainan video sebagai santapan rohani anak-anaknya.

Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah benar.


اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ


"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.". (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 255) 


Adakah harta kekayaan kita membuatkan kita lupa dan leka kepada tanggungjawab sebagai khalifah Allah Swt? Adakah ia berkat atau istidraj? Fikir2kanlah yer! :)


sumber: http://www.iluvislam.com/


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...