Wednesday, December 14, 2011

Pukul adik gemar bersosial


KUALA TERENGGANU - Hasrat murni seorang abang menegur adik perempuannya yang difahamkan gemar bersosial dengan cara memukul mangsa bertukar menjadi mimpi ngeri setelah tindakannya itu menyebabkan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, 9 Disember lalu di rumah mereka di Kampung Batu Enam, Chendering, di sini, adik perempuannya itu telah mengambil tindakan membuat laporan polis kerana mendakwa tertuduh, Mohd Zulkarnain Ismail, 41, telah menumbuk kepalanya sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, tertuduh, bapa kepada enam anak itu akhirnya menarik nafas lega apabila dia dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tempoh dua tahun dengan seorang penjamin.

Keputusan itu dijatuhkan Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Khalilah Ismail, 25.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya di sebuah rumah di Kampung Batu Enam, Chendering, di sini, pada 9 Disember lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dalam rayuannya, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya dengan alasan niat sebenarnya adalah untuk mendidik dan bukannya untuk mencederakan adiknya itu.

“Niat tertuduh adalah sekadar mendidik mangsa kerana sudah menjadi tanggungjawabnya selepas kematian ayah dan abang sulung mereka kira-kira setahun lalu.

“Selain itu, tertuduh yang tidak memiliki pekerjaan tetap ini perlu menanggung isteri dan enam anak yang masih kecil termasuk anak bongsu yang baru berusia 42 hari,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh yang pada awalnya hanya ingin menegur serta menasihati adiknya gagal mengawal perasaan setelah mangsa cuba ‘melawan’ dan enggan menerima teguran berkenaan.


Dalam pertengkaran itu, tertuduh didakwa ada mengugut mangsa dengan mengeluarkan kata-kata “kalau kau keluar rumah aku akan pukul” dan kemudiannya tertuduh bertindak menumbuk kepala mangsa.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Chendering sebelum tertuduh ditahan pada keesokan harinya kira-kira jam 3 petang di rumahnya di Kampung Batu Enam, Chendering, di sini.

Sementara itu, suasana di luar mahkamah kecoh seketika apabila mangsa dan ibu tertuduh yang turut hadir ketika pertuduhan bertindak memaki hamun peguam tertuduh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang membebaskan tertuduh.


sumber : http://www.sinarharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...